fbpx

Jelapang padi baharu elak bekalan beras terjejas teruk akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (tengah) pada sidang akhbar di MADA, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Kawasan jelapang padi baharu khususnya di Sabah dan Sarawak perlu diteroka sebagai persediaan menghadapi bencana terutama banjir yang menenggelamkan sebahagian sawah di negeri ini, baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kewujudan jelapang padi baharu itu dapat memastikan bekalan beras negara tidak terjejas teruk akibat banjir.

“Kita kena ada persediaan untuk menghadapi bencana ini yang mana kita perlukan jelapang padi di tempat lain khasnya di Sarawak dan Sabah.

“Jika di Sarawak, mereka (kerajaan negeri) merancang untuk 10 tahun dari sekarang boleh eksport beras. Bila boleh eksport beras, ertinya beras di sana sudah mencukupi. Namun begitu Sabah masih lagi jauh terutama daripada sudut pengairan yang perlu dipertingkatkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Cadangan Pembangunan Infrastruktur bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dua tahun di Kawasan Muda di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menurut Mohamad, langkah itu membolehkan negara masih mempunyai hasil beras di kawasan lain walaupun kawasan sawah di negeri terjejas banjir seperti Kedah musnah.

“Bencana ini kita lihat seperti di Amerika dan China, bencana di sana lebih dahsyat. Misalnya bencana di Florida baru-baru ini, 49 negeri lain tidak berlaku bencana. China pun begitu, apabila berlaku di sebelah Wuhan, ia tidak berlaku di sebelah Beijing dan Henan.

“Negara kita agak kecil, bila berlaku bencana di sebelah utara, hasil padi akan terjejas dan sebab itu kita juga perlu membuat persediaan di tempat lain,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan kerajaan negeri lain supaya mengusahakan semula semua kawasan sawah terbiar sebagai usaha meningkatkan pengeluaran beras negara.

“Baru-baru ini saya melawat Melaka dan Negeri Sembilan, mereka (kerajaan negeri) bersetuju untuk sawah-sawah yang terbiar begitu lama dipulihkan smeula kerana ini merupakan soal keterjaminan makanan. Kecukupan beras itu amat penting untuk dikeluarkan di negeri kita sendiri,” jelasnya.

Katanya, pihaknya pada masa sama akan meningkatkan keupayaan sistem pengairan sawah di seluruh negara termasuk di kawasan Muda dalam menghadapi bencana banjir.

“Begitu juga di kawasan kita di sini yang mana sekarang ini berjalan fasa pertama projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong penanaman padi lima musim dua tahun bernilai RM761.23 juta.

“Ia melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan 15 blok sistem pengairan tersier dan projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu,” jelasnya.

Tambahnya, projek pembangunan itu mampu meningkatkan hasil padi semasa iaitu daripada lima tan metrik per hektar kepada 5.6 tan metrik serta meningkatkan pendapatan pesawah dengan purata peningkatan pendapatan kasar meningkat daripada hampir RM31,000 setahun kepada RM46,000 setahun dengan terlaksana musim tambahan penanaman padi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI