SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau kumpulan-kumpulan melibatkan kegiatan bertukar-tukar pasangan (swinger) bagi tujuan seks.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, isu atau perlakuan tidak bermoral tersebut telah berlaku sejak 80an namun mereka didapati aktif menggunakan media sosial bagi mempergiatkan gerakan tersebut.
Katanya, usaha-usaha pencegahan terhadap aktiviti tersebut sedang giat dilakukan pihaknya.
“Cuma sekarang kita agak terkejut mereka menggunakan media sosial dan saya ada semua media-media yang mereka gunakan. Kalau ada pendekatan undang-undang, kita harus teliti yang mana sesuai dengan faktanya bukan dengan isunya.
“Sudah pasti usaha pencegahan dilakukan dan nombor satu adalah kita akan keluarkan khutbah berkenaan dengan segera supaya orang sedar perbuatan itu tidak boleh langsung dan diterima pun. Ia bukan sesuatu perbuatan yang agama boleh diterima malah kemanusiaan sama tidak boleh menerima bagaimana kita melakukan itu,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan peperiksaan penilaian sekolah-sekolah agama dibawah JAIS, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung kegiatan swinger yang mendedahkan secara terbuka setiap perjumpaan mereka termasuk di Selangor.
Mohd. Shahzihan menegaskan, perbuatan tersebut boleh disabitkan dibawah kesalahan Enakmen Jenayah Syariah Selangor melibatkan muncikari iaitu orang tengah yang menguruskan perempuan untuk dibeli orang lain.
Berdasarkan peruntukkan undang-undang dibawah enakmen itu, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara boleh hingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan.
“Selain itu, boleh juga didakwa dibawah Seksyen 29 melibatkan berkhalwat kalau perbuatan itu sedang dibuat tidak kiralah dengan sebab swing atau sebagainya.
“Namun tiada tangkapan dibuat setakat ini (melibatkan swinger) dibawah JAIS. Maklumat-maklumat telah disalurkan kepada agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan agar turut menyalurkan kepada JAIS bagi tindakan lanjut.
“Hanya orang yang faham peranan media itu sahaja akan menggunakannya (termasuk memanipulasi bagi tujuan swinger). Kalau saya tunjuk media itu, kamu menganggapnya sebagai biasa-biasa.
“Contohnya kumpulan isteri-isteri ceria dan suami perkasa yang di dalam itu ada interaksi atau hendak tukar isteri-isteri. Itu kadang-kadang orang tidak boleh detect (sebab guna nama sebegitu). Jadi, kita pula yang jenis yang tidak ambil tahu apabila nama kumpulan itu melalui platform kita,” katanya. -KOSMO!ONLINE