KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan bencana sebanyak RM580,000 kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri berisiko.
Timbalan Menterinya, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, sebanyak 5,800 ketua isi rumah (KIR) akan menerima manfaat menerusi Skuad Ihsan Madani SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi berkenaan.
Daripada jumlah itu katanya, Kelantan menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM200,000 memandangkan penduduk di negeri berkenaan paling ramai terkesan banjir.
“Dijangka lebih 2,000 KIR di Kelantan akan dibantu dalam misi bantuan ini menerusi Skuad Ihsan Madani SKM Prihatin 2024.
“Turut dilaksanakan adalah misi agihan sumbangan kepada mangsa banjir berupa kit pembersihan kediaman dan bakul makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skuad Ihsan Madani SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi serta upacara pelepasan empat belas buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan sebuah lori yang mewakili 14 Parlimen di seluruh Kelantan di Menara SKM, di sini hari ini.
Dalam pada itu Ramanan berkata, bantuan yang dilaksanakan itu adalah merupakan amalan lama yang dilaksanakan Kuskop dan SKM selain komitmen untuk meneruskan tradisi berkenaan.
“Terima kasih juga kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengambil berat terhadap mangsa banjir tanpa mengira latar belakang politik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE