KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang melakukan siasatan dalaman berhubung insiden seorang pelajarnya dibelasah di dalam kolej kediaman pada Ahad lalu.
Jurucakap Pejabat Komunikasi Korporat UMT berkata, insiden berkenaan amat dipandang serius oleh pengurusan universiti tersebut.
“UMT mengesahkan terdapat laporan salah laku pelajar yang dibuat kepada pihak polis semalam (kelmarin).
“Sebagai sebuah universiti berkepentingan awam, UMT sentiasa berusaha memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu seramai 12 pelajar ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan membelasah rakan sekampus di kolej kediaman universiti antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi, Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, mangsa yang lembam dan mengalami kecederaan dalaman pada bahagian lengan, pinggang, dada, perut dan kaki kanan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Jurucakap Pejabat Komunikasi Korporat UMT berkata, pengurusan universiti bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis berhubung siasatan kes itu.
Beliau menegaskan pihak amat berdukacita kerana setiap pelajar sepatutnya sentiasa mematuhi Kaedah- Kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar) 2024. – KOSMO! ONLINE