PASIR MAS – Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majisret di sini hari atas pertuduhan memasuki negara ini dari Thailand menggunakan laluan yang tidak sah di Pangkalan Haram Pohon Jambu, Rantau Panjang pada Isnin lalu.
Tertuduh, Mohd. Karlili Mohd. Hussin, 33, yang merupakan pemandu bot tambang bersama dua penumpangnya, Lim Teik Hooi, 21, dan Mohammad Azrol Azhar, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memasuki Malaysia dari Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak dibenarkan untuk masuk ke negara ini.
Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di tebing sungai dekat Pangkalan Haram Pohon Jambu, Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 4 petang pada 16 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tiara Shahira Mohd. Wira.
Terdahulu, Mahfuzah Hamizah memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran untuk tidak mengulangi kesalahan sama dan menggunakan laluan yang sah selepas ini.
Tiara dalam rayuannya meminta hukuman denda paling minimum untuk ketiga-tiga tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM2,500 kepada setiap tertuduh dan penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.
Berdasarkan rekod, kes yang dihadapi ketiga-tiga lelaki itu merupakan pertuduhan pertama bagi kesalahan merentas sempadan melalui Sungai Golok yang didakwa di mahkamah selepas polis melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.
Berdasarkan fakta kes, tujuh pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama tiga anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman mendapati dua lelaki menaiki bot yang dikemudi oleh seorang pemandu dari arah pengkalan haram Thailand semasa menjalankan pemantauan menerusi dron.
Bot tersebut dilihat terus menghampiri ke tebing sungai di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang sebelum kesemua suspek cuba untuk melarikan, namun berjaya ditahan selepas pegawai polis menghampiri bot mereka.
Semakan rakaman video menerusi dron polis mendapati, ketiga-tiga tertuduh masuk ke negara ini melalui pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang melalui Sungai Golok iaitu jalan yang tidak diwartakan.
Kosmo! hari ini melaporkan, seorang lelaki tempatan dicekup merentas Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram Pohon Jambu, di sini pada Isnin lalu selepas bertemu isterinya di negara jiran.
Lelaki berusia 21 tahun itu merupakan salah seorang daripada tiga suspek termasuk seorang pemandu bot tambang yang ditahan oleh anggota Batalion 9 PGA kira-kira pukul 4 petang di kawasan pangkalan haram tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan semasa anggota PGA menjalankan tugas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, pemandu bot yang berusia 33 tahun itu pada awalnya cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas oleh anggota bertugas.
“Siasatan awal mendapati, seorang penumpang lelaki memberi alasan dia baru sahaja berjumpa dengan isterinya yang merupakan warga Thailand di negara berkenaan untuk urusan menghantar pasport kepada wanita tersebut.
“Seorang lagi penumpang bot penambang berusia 26 tahun didapati merentas Sungai Golok untuk pulang ke negara ini selepas bertemu dengan rakannya di Thailand,” katanya. – KOSMO! ONLINE