NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh apabila bot laju milik Tentera Laut India hilang kawalan lalu melanggar sebuah feri penumpang di luar pantai Mumbai, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Tiga anggota tentera adalah antara yang terbunuh, manakala lebih 100 orang berjaya diselamatkan, kata Ketua Menteri negeri Maharashtra, Devendra Fadnavis.
Rakaman kejadian yang disiarkan di internet menunjukkan bot laju itu berpusing-pusing sebelum merempuh feri tersebut, yang kemudiannya terbalik.
Tentera Laut India berkata, terdapat kerosakan pada enjin bot.
“Sebuah bot tentera laut yang menjalani ujian enjin hilang kawalan lalu bertembung dengan feri penumpang,” kata Tentera Laut India dalam satu kenyataan.
Feri milik persendirian itu menuju ke Gua Elephanta yang merupakan destinasi pelancongan popular apabila dilanggar oleh bot laju tersebut.
Seorang penumpang di atas kapal itu memberitahu saluran berita ABP Majha: “Bot laju itu merempuh kami dan air mula memasuki feri sebelum ia karam. Pemandu feri meminta kami memakai jaket penyelamat.”
“Saya berenang selama 15 minit sebelum diselamatkan oleh bot lain,” tambah penumpang berkenaan. – AGENSI