PETALING JAYA – Pelakon Amelia Christie menafikan dakwaan sudah berhijrah sepenuhnya selepas penampilan mengenakan jubah dan tudung labuh sebelum ini mencetuskan tanda tanya.
Ujar Amelia atau nama sebenarnya Amelia Christie Lim, 24, dia masih belum berhijab selain meminta peminat supaya bertenang.
“Bawa bertenang kawan-kawan ku, belum lagi adui!” tulis menerusi Instagram Story.
Pelakon drama Gamers Mangkuk itu turut berkongsi tangkap layar sebuah laporan portal hiburan yang menyatakan dia kini bertudung.
Kekeliruan itu tercetus selepas Amelia memuat naik video dalam TikTok pada Selasa lalu memperlihatkan dirinya memakai jubah dan hijab sambil meluahkan rasa syukur terhadap ujian hidup dilalui.
“Terima kasih Ya Allah, cara-Mu mendewasakanku sungguh luar biasa,” tulisnya dalam kapsyen video tersebut.
Hantaran itu menarik perhatian netizen yang rata-rata memuji kecantikannya berimej sopan selain mendoakan pelakon itu terus istiqamah menutup aurat sepenuhnya.
Bagaimanapun, Amelia menegaskan bahawa perubahan tersebut belum berlaku buat masa ini. – KOSMO! ONLINE.