TAWAU – Kegiatan suami isteri menjalankan aktiviti pengedaran dadah akhirnya terbongkar apabila pasangan terbabit ditahan polis di kawasan Bandar Tawau pada Isnin lalu.
Kedua-dua suspek warga asing berusia lingkungan 20-an dan 40-an ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada pukul 10.15 malam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu adalah hasil daripada tindakan susulan penahanan dua individu warga tempatan berusia 29 dan 35 tahun.
Susulan itu katanya, pasukan operasi berjaya mengenal pasti dua lagi suspek di sekitar Jalan Kalabakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap Kedua-dua suspek warga asing yang bekerja sebagai buruh ladang itu menemui satu bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 503.70 gram yang dianggarkan bernilai hampir RM17,000.
“Semua suspek bersama barangan rampasan itu dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.-KOSMO! ONLINE