PETALING JAYA – Selepas mengumumkan pertunangan pada November lalu, pelakon Siti Saleha memberi bayangan bakal mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen ternama tempatan, Joshua Fitton, masa terdekat.
Perkara tersebut dikongsikan dalam Instagram menunjukkan pemilik nama lengkap Siti Saleha Mohd. Baharum, 34, diberikan kejutan memasuki sebuah bilik yang dipenuhi belon.
Menguatkan lagi spekulasi hari bahagia bakal menjelma apabila seorang rakan menyarungkan kain layah atau ‘veil’ yang tertera tulisan ‘bride’ (pengantin perempuan).
Malah, Siti Saleha yang lebih dikenali sebagai Sally itu turut meninggalkan kapsyen emoji pengantin perempuan dalam hantaran tersebut.
Perkongsiannya menerima banyak ucapan tahniah daripada peminat yang turut teruja menunggu hari bahagia kakak kepada Sam Bunkface itu.
“Tahniah sayang, saya sangat gembira,” kata peminat.
“Tumpang gembira untuk awak Sally,” ujar pengikut.
“Tahniah Sally. Berdua lebih baik,” ujar peminat lain.
Dalam masa sama, rakan-rakan artis lain turut meninggalkan komen hati seolah-olah gembira dengan berita yang dikongsikan.
Sebelum ini, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu mendedahkan sudah bertunang selepas hampir dua tahun menjalinkan hubungan istimewa dengan kekasih berdarah kacukan itu.
Sally pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar, 36, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama empat tahun dan tidak dikuniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE