KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah memperuntukkan sejumlah RM16 juta Dana Kandungan Kreatif (DKK) pada tahun 2024 dalam usaha untuk menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, peruntukkan itu meliputi tujuh jenis kategori dana iaitu Dana Dokumentari Kenegaraan, Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), Dana Co-Pro (Filem Cereka & Dokumentari), Dana Pembangunan Skrip, Dana Penyertaan Festival Antarabangsa, Dana Pengiktirafan dan Dana Program TV Kerjasama RTM.
Beliau berkata, usaha itu antara lain bagi menggalakkan penghasilan kandungan kreatif yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Antara contoh kejayaan DKK ialah filem cereka tempatan ‘Abang Adik’ arahan Jin Ong yang memenangi dua anugerah Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Wu Kang-ren) kategori Snow Leopard di 10th Asian World Film Festival (AWFF) yang berlangsung dari 13 hingga 21 November 2024 di The Culver Theater, Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Filem ini turut mencipta sejarah buat filem Malaysia dengan mengenepikan 15 buah filem antarabangsa yang mewakili negara masing-masing bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-97 (Oscars), filem Abang Adik lakonan Wu Kangren dan Jack Tan juga turut mendapat galakan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) selain DKK,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Abdul Nasir Idris yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.
Selain itu, Nie Ching berkata, Finas juga telah melaksanakan sebanyak 64 program pembangunan modal insan dalam bidang kreatif perfileman sepanjang tahun 2024 dalam usaha untuk menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.
“Program yang melibatkan seramai 3925 orang peserta di seluruh Malaysia itu adalah antara usaha yang dilaksanakan melalui inisiatif pembangunan industri filem tempatan yang turut merangkumi aspek pembiayaan kewangan serta pemasaran kandungan kreatif filem tempatan.
“Dalam aspek pembangunan modal insan, Finas telah menawarkan pelbagai latihan teknikal dan kursus bertaraf profesional dalam bidang pengarahan, penulisan skrip, produksi, penyuntingan, serta aspek teknikal seperti pengendalian kamera dan pencahayaan, Kesan Visual (VFX) dan lain-lain,” katanya.
Jelasnya, inisiatif itu juga turut melibatkan kolaborasi dengan pakar serta tenaga pengajar antarabangsa bertujuan untuk memperkenalkan teknik-teknik, inovasi, dan pengalaman terbaik daripada industri perfileman global kepada penggiat tempatan. – KOSMO! ONLINE