KUALA LUMPUR – “Sudah tentu saya akan beritahu dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) bukan sahaja hadiah untuk hari jadi saya (keputusan lepas dan bebas) tapi juga hadiah untuk Bossku,”
Itu kata ringkas Datin Seri Rosmah Mansor ketika ditanya mengenai keputusan lepas dan bebas oleh Mahkamah Tinggi terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Usai prosiding, Rosmah yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya ke-73 pada 10 Disember lalu turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguamnya yang bertungkus-lumus dalam kes ini.
“Ucapan terima kasih kepada hakim yang membuat keputusan yang tepat, ini dikatakan sebagai satu keadilan dan semua orang patut mendapat keadilan itu. Jangan main-main dengan keadilan,” katanya.
Terdahulu, Hakim K.Muniandy melepas dan membebaskan Rosmah selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk membatalkan kesemua 17 pertuduhan itu.
Sebelum ini, pasukan pembelaan menghujahkan, pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah adalah cacat dan mengelirukan kerana tidak mendedahkan siri transaksi atau pergerakan wang ke dalam akaun beliau.
Selain itu pihak pembelaan turut memaklumkan pertuduhan-pertuduhan juga kabur kerana tidak menyatakan apa aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh.
Rosmah dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.
Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. – KOSMO! ONLINE