PETALING JAYA – Pemilik akaun Tiktok @ryanwong_5845 ditahan polis selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi Diraja dan Perdana Menteri baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan yang dibuat pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, lelaki itu didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi Diraja bagi membangkitkan kebencian serta provokasi selain berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.
“Pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai pemilik akaun Tiktok tersebut kelmarin di kediamannya di Johor.
“Kita turut merampas telefon bimbit milik suspek manakala siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, kandungan terbabit bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi Diraja.
“Ia juga turut didapati membangkitkan kebencian serta provokasi terhadap institusi Diraja yang berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik akaun Tiktok terbabit turut mengeluarkan permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta Perdana Menteri makan di sebuah restoran yang disyaki tidak mempunyai sijil halal.
“Saya minta maaf geng tentang kenyataan makan di restoran tiada sijil halal rupanya ia ada sijil halal. Minta maaf kekhilafan sendiri kerana tidak buat kajian lebih lanjut.
“Saya dah turunkan video itu, yang sekarang sudah cecah 2 juta orang tengok (tontonan). Saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.
Setakat ini, video permohonan maaf berdurasi 59 saat itu mencecah 400,000 tontonan di TikTok-KOSMO! ONLINE
@ryanwong_5845 Harap lepas ini jangan mengecam saya lagi. Saya dah meminta maaf kerana sebar fitnah, nak terima atau tidak kemaafan itu terserah kepada anda. #tiktokmalaysia #isusemasa #islam ♬ bunyi asal – Rayyan Wong