PETALING JAYA – Kehadiran lebih 10 ekor gajah liar di Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan laluan Gerik ke Jeli baru-baru ini mengejutkan pengguna jalan raya ketika melalui kawasan tersebut.
Kemunculan kumpulan gajah dewasa bersama anak-anaknya itu sempat dirakam oleh beberapa pengguna dan turut dikongsikan di TikTok @dauss1997.
“Mujur selamat, alhamdulillah,” tulisnya di ruang kapsyen video tersebut.
Menerusi rakaman yang dikongsikan, gelagat beberapa individu di dalam kenderaan terbabit turut mendapat perhatian ramai apabila kedengaran suara seorang wanita berulang kali meminta keluarganya duduk diam serta tidak mengeluarkan sebarang bunyi.
“Duduk diam, diam…diam..diam. Jangan bergerak,” ulang wanita itu.
Dalam masa sama, dapat didengar suara seorang lelaki membaca doa bagi memastikan keadaan mereka selamat ketika sekumpulan gajah tersebut berada betul-betul di sebelah kereta.
Detik cemas tersebut bukan sahaja dirasai oleh keluarga terbabit, malah pengguna media sosial lain yang menonton rakaman itu turut tidak senang duduk .
“Dengan aku sekali diam. Jantung berdebar,” kata Ayu_Emas.
“Aku sekali diam dan tahan nafas tak bergerak,” ujar Almira Marzuki
“Betul lah, aku yang tonton video pun terikut-ikut bila kakak tu kata diam, jangan bergerak. Cemas tu aku pun rasa, padahal tengok video sahaja pun, seram bila nampak gajah besar-besar lalu sebelah,” komen Syazie.
Sementara itu, ada juga pengguna yang bertanyakan apakah kesan sekiranya individu di dalam kenderaan terbabit bising atau mengeluarkan suara ketika gajah tersebut melintasi mereka.
“Kalau bising atau kita cakap seperti biasa dalam kereta apa kesannya? Serius nak tahu? Kalau kereta dah tutup tingkap, gajah-gajah itu masih boleh dengar ya? Adakah akan beri ancaman kepada haiwan tersebut?,” soal beberapa pengguna di ruangan komen.
Sebelum ini, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataan menasihati pemandu serta pengguna yang melalui laluan ‘hotspot’ gajah liar melintas untuk tidak membuat provokasi sewaktu bertemu dengan haiwan tersebut.
Menurut Perhilitan, pengguna jalan raya juga diingatkan untuk tidak membunyikan hon kerana tindakan tersebut boleh mengundang risiko. – KOSMO! ONLINE
@dauss1997 Mujo selamat alhamdulilah#gajah #gajahviral #gajahgerik #gerik ♬ original sound – FirdausDaus