PETALING JAYA – Peminat drama Andai Tiada Dia terkejut dan kecewa apabila watak yang disayangi mereka, Falah lakonan Zahiril Adzim meninggal dunia akibat sakit kanser malam tadi.
Episod kedua terakhir malam tadi itu memaparkan watak Falah mati otak dan bergantung kepada mesin hayat sebelum dimatikan
Ramai peminat drama ini mahu penamat yang membahagiakan buat heroin lakonan Ummi Nazeerah.
Sejak mula ditayangkan, Andai Tiada Dia telah mencuri perhatian ramai dengan jalan cerita yang penuh dengan konflik dan emosi mendalam.
Falah, yang dibawa dengan penuh jiwa oleh pelakon utama telah menjadi idola bagi banyak penonton kerana sikapnya yang baik hati, serta hubungan romantiknya yang penuh dugaan.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di sosial media mendapati ramai peminat meluahkan rasa kecewa dan kesedihan mereka atas keputusan tersebut.
Di TikTok, ramai yang menulis kata-kata penuh emosi, menyatakan sukar menerima kenyataan bahawa Falah, yang telah lama menjadi watak kesukaan sudah pergi.
“Maaf Falah. Bukan Suri je yang tak boleh terima, kami para penonton pun tak boleh terima Falah meninggal. Sampai hati Falah,” ujar Disha.
“Tolong kembalikan Falah. Saya menangis macam saya yang Suri ni. Saya tak reda,” tulis Azlyn Harun.
“Keluar air mata jantan aku hari ini bila dengar mak Falah cakap sebenarnya Falah dah tak ada. Hanya bergantung pada mesin. Sedih masa Suri ajar mengucap,” luah Akmal.
“Tadi saya nangis teruk setelah lama tak menangis. Kenapa Falah tu hanya persinggahan untuk bantu Suri dan Haikal je? Dia berhak bahagia. Dia manusia juga,” kata Aishah dengan penuh emosi.
Jelas Aina, dia tidak akan percaya Falah sudah mati selagi tidak melihat kubur tambahan pula hari ini ada satu lagi episod.
‘Hari ini episod akhir, harap Suri hanya bermimpi, penonton tidak mahu Suri dengan Haikal happy ending,” jelasnya- KOSMO! ONLINE