GUA MUSANG – Sebuah treler yang hilang kawalan dipercayai menjadi punca kepada kemalangan yang mengorbankan seorang penuntut wanita Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut di Terengganu dalam nahas lima kenderaan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu membabitkan sebuah treler jenis Volvo dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 selain dua buah kereta jenis Perodua Axia dan Proton Saga.
Mangsa yang maut ialah penumpang belakang SUV, Nurul Alya Fatnin Mohd. Mawardzi, 22, yang sedang berkonvoi dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampusnya di Besut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu treler berusia 28 tahun sedang dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke Gua Musang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu treler itu disyaki gagal mengawal kenderaannya sebelun merempuh sisi kanan kereta Perodua Axia, Proton Saga dan SUV Proton X50 yang berada di bahu kiri jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu Proton X50 cedera pada kepala, manakala penumpang depan cedera ringan. Penumpang belakang mengalami kecederaan pada pinggul dan Nurul Alya Fatnin pula maut di lokasi kejadian.
“Pemandu Perodua Axia pula parah pada kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang. Enam lagi mangsa hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE