PETALING JAYA – Boleh bergambar dengan pokok krismas, tetapi jangan meletakkan kepercayaan terhadapnya.
Itu kata pendakwah, Ustaz Azhar Idrus apabila diminta untuk mengulas mengenai orang beragama Islam bergambar dengan pokok krismas yang diletakkan di pusat beli-belah menjelang perayaan Krismas minggu hadapan.
Ustaz Azhar berkata, orang Islam tidak boleh sewenang-wenangnya meniru perbuatan orang bukan beragama Islam kerana boleh menimbulkan salah sangka.
“Pokok itu tidak haram, yang haram apabila kita hias pokok itu semasa sambutan perayaan Hari Natal sehingga ada yang menyangka rumah kita adalah rumah orang Kristian. Itu hukumnya haram.
“Orang yang meniru sesuatu kaum, dia termasuk kaum itu,” katanya.
Beliau berkata, perbuatan bergambar di pasar raya dengan pokok krismas juga tidak haram namun jangan memuliakannya.
“Ingat, setiap perayaan orang kafir kita kena beritikad (percaya) apa yang mereka buat adalah batil (tidak benar),” katanya. – KOSMO! ONLINE