BRASILIA – Seorang lelaki terbunuh, manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok Krismas gergasi tumbang ke dalam laut di Rio de Janeiro, Brazil, lapor akhbar Metro UK semalam.
Pekerja-pekerja telah memasang 360,000 lampu pada struktur terapung setinggi 56 meter yang dijadual menyala pada majlis pelancaran rasminya.
Namun, apabila pegawai-pegawai mengeluarkan amaran tentang cuaca buruk, sekumpulan pekerja terpaksa mencari tempat yang lebih selamat.
Dalam rakaman video yang disiarkan di Twitter, pokok besar itu dilihat bergoyang sebelum tumbang ketika angin kencang semasa pekerja bergegas menuju ke pantai.
Dua mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital tetapi tidak berada dalam keadaan yang mengancam nyawa, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Siasatan polis berhubung kejadian itu telah dimulakan. – AGENSI