KUCHING- Polis mengesahkan mayat yang dijumpai hampir reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya pada Sabtu lalu adalah Nurul Asikin Lan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, ia hasil daripada keputusan laporan DNA identiti mayat itu yang diperoleh hari ini.
“Hasil laporan DNA mengesahkan identiti mayat yang dijumpai hampir reput itu merupakan wanita bernama Nurul Asikin Lan, berhubung kes bunuh yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.
Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menyalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintendan Tan Kian Kok di talian 010-5661576.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mendedahkan suspek mengaku membunuh Nurul Asikin atau dikenali sebagai Amoy, 28, pada malam 5 Disember lalu selepas mereka keluar bersama.
Katanya motif pembunuhan adalah kerana suspek mahu mendapatkan dan menggadai gelang tangan dan anting-anting emas yang dipakai mangsa demi menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja pada 8 Disember lalu.
Susulan laporan mengenai kehilangan Amoy yang dibuat oleh keluarganya, polis berjaya menangkap lelaki tempatan berusia 23 tahun itu pada Sabtu lalu, dan dia kemudian membawa polis ke lokasinya membuang mayat mangsa.
Lelaki terbabit telah direman selama tujuh hari sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -KOSMO! ONLINE.