KOTA BHARU – Kerugian akibat banjir yang melanda Kelantan bermula hujung November lalu telah mencecah lebih RM300 juta.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah itu, kerugian itu melibatkan infrastruktur, sektor pertanian dan rumah milik penduduk.
“Kerosakan melibatkan infrastruktur sudah mencecah lebih RM80 juta. Kerugian melibatkan sektor pertanian pula dianggarkan melebihi RM30 juta.
“Kerajaan negeri akan akan membantu semasa proses baik pulih pasca banjir kerana ia akan membabitkan jumlah kos yang besar. Kita ambil pengalaman daripada bencana bah pada 2014 lalu dan akan lihat golongan yang layak dibantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri buat masa ini telah menyediakan sejumlah peruntukan kepada wakil rakyat untuk digunakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir. – KOSMO! ONLINE