DOHA – Pemenang Piala Dunia, Emiliano Martinez terus mendapat pengiktirafan tertinggi apabila diangkat sebagai penerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik FIFA Best 2024.
Tonggak utama Aston Villa itu nyata berada di kelas tersendiri apabila ini adalah kejayaan keduanya pada FIFA Best dalam tempoh tiga tahun sekali gus melengkapkan musim gemilang selepas turut mendominasi Trofi Yashin pada Anugerah Ballon D’Or.
“Sekali lagi yang terbaik. Emiliano Martinez adalah lambang kepada pasukan kebangsaan Argentina dan @AVFCO (Aston Villa), sekali lagi lagi diundi sebagai penjaga gol terbaik,” menurut kenyataan pasukan kebangsaan Argentina.
Martinez mengetepikan penjaga hebat lain seperti Ederson dan Unai Simon untuk melengkapkan tiga senarai teratas pada majlis berkenaan.
Keputusan akhir menyaksikan Martinez meraih 26 undian berbanding hanya 16 buat Ederson dan Simon (13).
Kejayaan ini juga menyaksikan Martinez muncul pemain pertama yang memenangi anugerah ini dua kali dan ia bukan sesuatu yang boleh dinafikan khususnya selepas mengambil kira persembahannya bersama pasukan kebangsaan dan Aston Villa.
Bersama La Albiceleste, Martinez membantu pasukan memenangi Copa America buat kali kedua apabila hanya bolos sekali pada edisi 2024 dan turut membawa Aston Villa ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun. – AGENSI