DOHA – Gol akrobatik yang dijaringkan pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho dipilih sebagai pemenang Anugerah Puskas pada Anugerah FIFA Best 2024 yang berlangsung awal pagi semalam.
Pemain Argentina itu melakukan jaringan tersebut ketika membantu skuad The Red Devils mencatat kemenangan 3-0 ke atas Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park 27 November tahun lalu.
Jaringan menakjubkan itu menjadi perbualan hangat apabila ia dibandingkan dengan gol akrobatik yang pernah dilakukan legenda United, Wayne Rooney ketika membenam Manchester City 2-1 pada 2011.
“Secara jujur, sukar untuk percaya saya berjaya melakukan jaringan seperti itu. Ketika itu, saya tidak tahu bagaimana gol tersebut dilakukan dan hanya mendengar pujian daripada penonton di stadium.
“Ia merupakan salah satu gol terbaik yang pernah saya jaringkan. Saya sangat gembira, lebih-lebih lagi ia dikatakan mirip dengan jaringan Rooney tetapi saya tidak tahu gol yang mana lebih baik,” kata Garnacho.
Sebagai rekod, pemain berusia 20 tahun itu merupakan pemain kedua United yang pernah memenangi anugerah berprestij tersebut, mengikut jejak langkah seorang lagi legenda The Red Devils, Cristiano Ronaldo.
Sementara itu, Garnacho juga menjadi pemain kelima daripada saingan Liga Perdana yang memenangi Anugerah Puskas selepas Olivier Giroud (2017), Mohamed Salah (2018), Son Heung-min (2020) dan Erik Lamela (2021). – AGENSI