LONDON – Pemain sayap Chelsea, Mykhailo Mudryk berdepan penggantungan sementara daripada Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas hasil ujian doping yang dilakukan sebelum ini didapati positif.
Dia yang masih menantikan keputusan sampel B berdepan kemungkinan digantung selama empat tahun berdasarkan peraturan FA selepas ujian terhadap sampel A sebelum ini didapati mengandungi bahan terlarang.
Chelsea dalam satu kenyataan mengesahkan FA sudah pun menghubungi pemain Ukraine berkenaan selain sedia memberikan kerjasama kepada badan induk bola sepak England itu bagi menjalankan siasatan.
“Chelsea boleh mengesahkan bahawa Persatuan Bola Sepak (England) ada menghubungi pemain kami, iaitu Mykhailo Mudryk berhubung keputusan diperoleh daripada ujian air kencing yang dibuat.
“Kedua-dua pihak kelab dan Mykhailo memberikan sokongan penuh kepada program ujian (doping) yang dikendalikan FA. Kami akan bekerjasama dengan pihak berkenaan bagi menyiasat apa yang menjadi punca terhadap keputusan itu,” kata The Blues.
Sementara itu, Mudryk yang masih terkejut mengenai keputusan itu tidak menunggu lama apabila turut mengeluarkan kenyataan menafikan dia mengambil bahan terlarang dengan sengaja bagi meningkatkan prestasi.
“Secara jujur, saya benar-benar terkejut kerana saya tidak pernah menggunakan bahan terlarang dan melanggar peraturan. Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana perkara ini masih berada dalam siasatan,” ujarnya. – AGENSI