fbpx

K2

Hukum ubah suai meter elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEKALAN elektrik merupakan salah satu sumber penting dalam kehidupan.- Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya nak bertanya beberapa soalan berkenaan elektrik. Bolehkah kita membuat sesuatu untuk mengurangkan bil elektrik? Contohnya memasang magnet atau mengubah suai meter?

Jawapan: Bekalan elektrik merupakan salah satu sumber tenaga yang amat penting dalam kehidupan.

Dalam konteks teknologi ketika ini, kebanyakan alatan dan peranti, bahkan kenderaan memerlukan tenaga elektrik untuk berfungsi dengan sebaiknya.

Lantaran itu, ketiadaan bekalan elektrik sama ada dalam tempoh singkat mahupun panjang boleh mengakibatkan kesukaran dan menjejaskan pelbagai perkara. Dengan perkataan lain, bekalan elektrik boleh dikategorikan sebagai salah satu keperluan utama yang boleh mempermudah pelbagai urusan manusia pada masa kini.

Dalam pada itu, kenaikan tarif elektrik semasa turut menimbulkan kesukaran kepada sesetengah pihak.

Lebih-lebih lagi bagi golongan yang berpendapatan rendah dan terikat dengan pelbagai komitmen bayaran secara bulanan.

Rentetan itu, sesetengah pihak telah berikhtiar untuk mengurangkan bil elektrik bulanan menerusi pengubahsuaian terhadap meter elektrik di rumah masing-masing.

Bagi situasi di Malaysia, pihak kerajaan merupakan pemilik kepada sumber tenaga elektrik dalam negara dan mengamanahkan kepada agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menguruskan agihan bekalan tersebut kepada masyarakat.

Oleh itu, bekalan elektrik yang diperoleh menerusi bayaran bil merupakan salah satu daripada harta individu.

Manakala perbuatan mengubah suai meter elektrik pula adalah bertentangan dengan syariat Islam. Hal ini demikian kerana ia bertujuan memperoleh sesebuah harta dengan cara yang salah iaitu tanpa keizinan daripada pemilik harta berkenaan malah mencabuli undang-undang setempat.

Secara umumnya, terdapat larangan dalam al-Quran ke atas orang beriman daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil.

Allah SWT berfirman:“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, 188)

Menurut al-Tabari, ayat di atas bermaksud larangan daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil iaitu bukan menggunakan cara yang diharuskan oleh Allah SWT.

Sementara al-Maraghi dalam salah satu tafsiran terhadap kalimah batil pada ayat tersebut menyatakan bahawa ia termasuklah juga tidak mendapat keredaan atau keizinan daripada pihak pemilik asal harta berkenaan.

Beliau kemudiannya menghuraikan secara terperinci bentuk-bentuk pengambilan harta dengan cara batil.

Antaranya, termasuklah menggunakan pelbagai taktik penipuan dan helah untuk memperdaya penjual mahupun pelanggan.

Di samping itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan penipuan, maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan kami. Balasan yang menimpa ke atas golongan yang melakukan tipu daya dan muslihat adalah ditempatkan dalam neraka.” (Riwayat Ibn Hibban)

Sehubungan itu, kami berpandangan bahawa hukum memasang magnet atau mengubah suai meter elektrik bagi menjimatkan bil adalah haram.

Ini kerana, perbuatan sedemikian dilihat sebagai salah satu helah untuk menipu dan mengambil sesuatu tanpa memohon keizinan daripada pemilik asal.

Tambahan pula, ia juga merupakan salah satu bentuk perbuatan mendapatkan harta secara batil.

Pada masa sama, pihak kami menasihatkan kepada seluruh masyarakat supaya mengambil langkah-langkah penjimatan elektrik seperti menetapkan had penggunaan alatan elektrik di rumah, sentiasa menutup suis apabila tidak menggunakan.

Orang ramai juga boleh mengurangkan kadar penggunaan alatan yang memerlukan jumlah kuasa elektrik tinggi dan lain-lain bagi mengurangkan bil elektrik secara bulanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI