PENGENDALI Sri Pahang FC (SPFC), Fandi Ahmad mempertikaikan mutu pengadilan yang disifatkan berat sebelah hingga merosakkan rancangannya untuk mencuri mata ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.
Menurut Fandi, beliau sangat kesal dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan itu apabila pemainnya yang dilayangkan tiga kad kuning, tetapi tiada pemain JDT dikenakan tindakan biarpun penyerang importnya, Kpah Sherman yang dikasari berulang kali.
Katanya, pengadil membuat keputusan yang lambat untuk merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR) setelah permainan dibenarkan bersambung dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan.
“Yang paling saya tak senang adalah mutu pengadilan. Main bola sudah macam main ragbi, Kpah kena terjah beberapa kali pada babak pertama, namun tidak dikenakan kad kuning bahkan tidak diberikan sepakan percuma, tapi kita pula dilayangkan tiga kad kuning.
“Untuk bola sepak, ini kurang baik. Kalah menang adat permainan dan kita boleh terima kekalahan jika bertanding secara adil dan sudah memberikan segalanya atas padang, jadi saya tak boleh terima pengadilan seperti ini,” katanya.
Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, cara penggunaan VAR di Liga Malaysia juga boleh dipertikaikan walaupun ia dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan luas dalam bola sepak.