JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio kurang ‘berkenan’ melihat pasukannya bergelut untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC dalam pertembungan Liga Super, malam kelmarin.
Jaringan sendiri oleh pemain pertahanan lawan serta dua gol menerusi Bergson Da Silva termasuk satu sepakan penalti pada penghujung permainan menghadiahkan tiga mata buat skuad Harimau Selatan.
Bidoglio berkata, pemain juga seakan hilang fokus apabila membenarkan skuad Tok Gajah menjaringkan gol tunggal perlawanan iaitu seminit selepas pemainnya menjaringkan gol kedua perlawanan.
“Pada babak pertama kita tidak berjaya menembusi benteng Tok Gajah yang cukup padat dan tidak memberi ruang kepada kita untuk menjana serangan.
“Pada babak kedua pula, kami mengubah strategi dengan meletakkan pemain sayap bertahan di posisi lebih jauh untuk menarik pertahanan mereka, dari situ kita dapat melakukan serangan di bahagian tengah.
“Walaupun berjaya mengutip tiga mata, saya tidak suka apabila gawang dibolosi. Ini menunjukkan pemain perlu lebih fokus pada setiap detik dan tidak memberi ruang kepada lawan menghukum kesilapan yang dilakukan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Argentina itu berkata, corak permainan yang diterapkan oleh Sri Pahang menyebabkan Arif Aiman Hanapi dilihat serba ‘tidak menjadi’ pada perlawanan itu, tetapi masih melakukan tugas penting dengan mengucar-kacirkan benteng pertahanan.