Berlaku perselisihan dalam keluarga kami ketika hendak melaksanakan solat jamak takhir. Ada yang kata perlu solat maghrib dulu, kemudian baru isyak. Ada yang kata isyak dulu, lepas tu baru maghrib. Macam mana yang sepatutnya? Mohon pencerahan.
JAWAPAN: Solat secara jamak merupakan salah satu daripada rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh syarak dalam ibadah. Solat secara jamak bermaksud seseorang itu menghimpunkan dua solat di dalam satu waktu, sama ada menghimpunkan solat zohor dan asar, atau maghrib dan isyak.
Solat jamak boleh berlaku dalam dua bentuk, sama ada dilaksanakan pada waktu pertama, ataupun dilakukan pada waktu kedua. Solat jamak yang dilakukan pada waktu pertama diistilahkan sebagai jamak taqdim, manakala solat jamak yang dilakukan pada waktu kedua pula diistilahkan sebagai jamak takhir.
Rasulullah SAW sendiri juga pernah melaksanakan solat jamak dalam kedua-dua bentuk, sama ada jamak secara taqdim mahupun secara takhir.
Saidina Mu’adh bin Jabal ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat jamak taqdim ketika perang Tabuk: “Pada ketika Baginda bergerak selepas gelincir matahari, Baginda menyegerakan solat asar kepada zohor, dan menunaikan solat zohor dan asar bersama-sama. Pada ketika Baginda bergerak selepas maghrib, baginda akan menyegerakan solat isyak, lalu baginda menunaikan solat isyak bersama-sama dengan solat maghrib”. (Riwayat al-Tirmizi)
Begitu juga Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat secara jamak takhir, seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik: “Pada ketika Rasulullah SAW bergerak sebelum gelincir matahari, Baginda melewatkan zohor sehingga masuknya waktu asar, kemudian Baginda menghimpunkan antara kedua-duanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh kerana solat jamak dikerjakan dengan menghimpunkan dua waktu solat, maka persoalan yang timbul, apakah tertib susunan antara kedua-dua solat tersebut? Solat manakah yang perlu didirikan terlebih dahulu?
Jawapan bagi permasalahan yang disebutkan di atas adalah berbeza antara solat jamak taqdim dan juga solat jamak takhir, seperti dibincangkan dengan terperinci di dalam artikel ini.
Bagi mereka yang ingin melaksanakan solat jamak secara taqdim, maka disyaratkan ke atasnya untuk melaksanakan solat mengikut susunan tertib. Misalnya, seseorang yang ingin menghimpunkan solat zohor dan asar pada waktu zohor secara jamak taqdim, dia mestilah menunaikan solat zohor terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan solat asar.
Al-Shiekh Sa’id Muhammad Ba ‘Ali menjelaskan perkara ini seperti berikut: “(Disyaratkan) untuk memulakan dengan solat waktu pertama, kerana waktu tersebut adalah bagi waktu solat pertama, dan waktu solat kedua hanyalah mengikutnya. Sesuatu yang mengikuti tidak boleh mendahului apa yang diikuti”.
Berdasarkan penjelasan di atas, persyaratan tertib susunan ketika jamak taqdim ini adalah kerana solat waktu kedua (solat asar atau solat isyak) adalah mengikuti solat waktu pertama (solat zohor atau solat maghrib).
Justeru, disyaratkan untuk diselesaikan terlebih dahulu solat waktu pertama, barulah diikuti berikutnya dengan solat waktu kedua.
Berbeza dengan solat jamak taqdim, solat jamak takhir pula tidak disyaratkan mestilah mengikut tertib susunan waktu solat. Misalnya, seseorang yang ingin menghimpunkan solat zohor dan asar secara jamak takhir, dia bolehlah memilih sama ada untuk menunaikan solat zohor terlebih dahulu, ataupun boleh juga untuk memulakannya dengan solat asar. Bagaimanapun hukum memulakan solat jamak takhir dengan solat waktu pertama adalah sunat. Kesimpulannya, tertib susunan kedua-dua jamak hanya diwajibkan ketika solat jamak taqdim sahaja. mengikut susunan antara kedua-duanya.