JOHOR BAHRU – Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak Jun lalu menyebabkan pengusaha stesen minyak di Semenanjung mengalami kerugian mencecah RM181 juta untuk 3,500 stesen yang berdaftar.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Hanny Julia Haron berkata, cabaran ekonomi dihadapi pengusaha stesen minyak kini mencapai tahap kritikal setelah menanggung kerugian hampir setiap bulan.
Katanya, hal ini terjadi setelah pengusaha terpaksa membeli bahan api pada harga tinggi tetapi menjual pada harga lebih rendah.
“Sebanyak 98.3 peratus daripada stesen-stesen ini melaporkan kerugian daripada jualan petrol dan diesel, menyebabkan ramai pengusaha beralih kepada jualan kedai serbaneka sebagai strategi untuk mengimbangi penurunan pendapatan bahan api.
“Tanpa campur tangan, kesan ekonomi jangka panjang boleh menjadi parah, berpotensi meningkatkan kadar pengangguran dan mengurangkan hasil kerajaan daripada cukai dan levi akibat penutupan stesen atau pengurangan operasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Persidangan Bumipeda Wilayah Selatan di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, di sini hari ini.
Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.
Mengulas lanjut, Hanny Julia berkata, susulan peningkatan kos operasi ini, ramai pengusaha stesen mempertimbangkan untuk mengurangkan waktu operasi mereka sehingga tengah malam sahaja bagi mengurangkan perbelanjaan buruh dan utiliti.
Malangnya, katanya, pengurangan tenaga kerja juga mungkin diperlukan sebagai langkah terakhir untuk mengekalkan operasi. – KOSMO! ONLINE