KUCHING – Suspek pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dijumpai reput di dalam longkang mengakui membunuh mangsa kerana ingin menggadai barang kemas miliknya untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Kemboja bagi kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja pada 8 Disember lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata pembunuhan itu diakui sendiri oleh suspek, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang kini ditahan reman sehingga 22 Disember ini untuk siasatan lanjut.
“Motif adalah suspek minta barang kemas yang dipakai pada si mati iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas.
“Suspek perlu barang kemas ini untuk digadaikan bagi perbelanjaan ke Kemboja untuk menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Mancha berkata suspek mengaku membunuh mangsa, Nurul Asikin Lan @ Amoy, 28, setelah keluar bersamanya pada malam 5 Disember lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata meskipun ada pengakuan daripada suspek, kes itu belum dapat diselesaikan sepenuhnya kerana identiti mayat tersebut belum lagi dikenal pasti.
Katanya sampel DNA juga sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) namun keputusan belum diperolehi setakat ini.
“Keluarga mangsa pun tidak dapat cam kerana mayat sudah reput,” katanya.
Namun, katanya polis berjaya menemukan beberapa bahan bukti yang penting seperti gigi dan rambut semasa pemeriksaan dan pencarian semula yang dilakukan semalam di lokasi penemuan mayat itu. – KOSMO! ONLINE