KUALA LUMPUR – Seorang pustakawan tidak menyangka panggilan telefon sebanyak dua kali yang disangka ‘scammer’ rupa-rupanya membawa khabar gembira apabila memenangi hadiah pertama berupa kereta elektrik BYD Atto 3.
Hadiah utama itu dimenangi menerusi Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Bank Rakyat.
Norayati Johari, 44, yang bertugas di Perpustakaan Awam Johor diumumkan pemenang fasa pertama kempen tersebut yang berlangsung dari 1 September hingga 30 November lalu.
Ibu dua anak berusia 19 dan 25 tahun itu berkata, dia menerima panggilan minggu lalu, namun tidak menjawabnya sebelum menerima kiriman WhatsApp.
“Mesej itu panjang lebar, pada mulanya memang tidak percaya apabila dimaklumkan menang hadiah kereta. Saya pergi ke cawangan Bank Rakyat berdekatan untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.
“Ternyata memang saya menang hadiah tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Bank Rakyat di Menara Berkembar di sini hari ini.
Norayati menyifatkan hadiah tersebut sebagai rezeki daripada Allah dan akan memanfaatkan kenderaan tersebut untuk keluarga.
“Memang tidak jangka rezeki daripada Allah. Saya sangat gembira dan terima kasih Bank Rakyat. Sepanjang 25 tahun bekerja, saya tidak pernah menggunakan kemudahan (pinjaman peribadi) selain Bank Rakyat.
“Saya sudah memiliki dua buah kereta iaitu Honda Accord dan Proton Saga. Ini (hadiah) kereta elektrik dan sudah tentu saya akan menggunakannya,” katanya.
Seramai 17 pemenang menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff.
Hadiah kedua dimenangi Syahida Zakaria dari Perak yang membawa pulang motosikal jenis BMW CE 04, manakala Nuzatul Shima Lahudi dari Sabah memenangi tempat ketiga berupa baucar umrah atau percutian bernilai RM20,000 untuk dua orang.
Hadiah istimewa lain termasuk iPhone, motosikal Modenas, iPad, 5 gram wafer emas dan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bernilai RM1,000 kepada 70 pemenang di seluruh negara dengan nilai keseluruhan lebih RM400,000. – KOSMO! ONLINE