fbpx

4,000 rakyat Sabah sambut kepulangan Tun Musa Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musa tiba di Terminal 2, KKIA menaiki pesawat Jet Gulfstream G5000 milik kerajaan negeri sekitar pukul 12 tengah hari tadi. Foto Ivan Amirul/ KOSMO!

KOTA KINABALU – Kira-kira 4,000 rakyat Sabah membanjiri perkarangan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini bagi menyambut kepulangan Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menaiki pesawat Jet Gulfstream G5000 milik kerajaan negeri dari Kuala Lumpur tiba di KKIA pada sekitar pukul 12 tengah hari tadi.

Turut hadir menyambut kepulangan Musa adalah pemimpin-pemimpin kerajaan negeri termasuklah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim serta Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Dalam pada itu, Musa yang dibawa menaiki kenderaan jenis Bentley sempat membuka tingkap sambil melambaikan tangan dan memberikan senyuman manis kepada rakyat yang sedia menanti kepulangannya seawal pukul 8 pagi lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara semalam.

Pelantikan Musa bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.

Musa dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI