KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah 800 pakar setiap tahun dalam usaha memperkasakan jumlah sumber manusia di fasilti kementerian itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang berkata, langkah itu juga membolehkan pengisian jawatan secara tetap akan terus dilaksanakan di semua fasiliti kesihatan seluruh negara.
“Tahun ini kita mulakan pertambahan kepakaran sebanyak 800 orang pakar yang akan dilaksanakan setiap tahun, maksudnya kita ada bilangan jawatan, walaupun belum lagi cukup tetapi jaminan dari pihak pusat bahawa jumlah jawatan kepakaran ini dibekalkan setiap tahun.
“Selain itu, Perdana Menteri sebelum ini juga telah mengumumkan jawatan sebanyak 12,800 telah diluluskan bagi pengambilan 2023/2024 bagi jawatan doktor kontrak ke tetap dan kita juga sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah doktor,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Prof. Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah yang meminta kementerian
menyatakan langkah-langkah segera yang diambil oleh kerajaan dalam menangani krisis kekurangan tenaga kerja di sektor kesihatan, khususnya doktor, jururawat dan kakitangan sokongan.
Setakat 30 September lalu, seramai 299,672 petugas kesihatan sedang berkhidmat di Kementerian Kesihatan dimana 266,898 petugas kesihatan adalah lantikan tetap, sementara 32,774 lagi adalah lantikan kontrak. – KOSMO! ONLINE