fbpx

Pemandu Mercedes tular langgar penunggang motosikal mengaku tidak salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Fei (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Saddam Yusof/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta Mercedes-Benz yang tular dalam kes langgar lari melibatkan seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SPE) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, Sum Kah Fei, 34, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.

Mengikut pertuduhan pertama, peniaga itu didakwa memandu secara melulu sehingga berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan Muhammad Nur Faiz Saini @ Ausaini mengalami cedera parah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Lebuh Raya SPE dari arah pusat bandar ke Plaza Tol Wangsa Maju, di sini, pukul 12.35 tengah hari, 15 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menghentikan kenderaannya selepas terbabit kemalangan dengan motosikal ditunggang mangsa pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahjiman yang menawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya itu sedang mengalami masalah perniagaan selain perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Majistret Haneefa membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Tarikh 24 Februari ditetapkan sebutan semula kes.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis menahan pemandu kereta jenis Mercedes-Benz yang disyaki terbabit dalam kes langgar lari melibatkan seorang penunggang motosikal di Kilometer (KM) 18, Lebuh Raya SPE berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, nahas pada pukul 12.35 tengah hari itu menimpa lelaki berusia 34 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario 160 berwarna perak.

Terdahulu Kosmo! turut melaporkan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz 450 musnah dalam kebakaran di Kilometer 18, SPE sebelum Plaza Tol Wangsa Maju.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.38 tengah hari. Kebakaran menyebabkan kenderaan itu musnah sepenuhnya pada bahagian enjin. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI