PORT VILA, VANUATU – Pasukan penyelamat melakukan kerja-kerja penggalian untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan sebuah bangunan di negara Kepulauan Pasifik, Vanuatu hari ini, selepas gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang.
Seorang penduduk, Michael Thompson berkata, orang ramai dikeluarkan dari bawah runtuhan kedai tiga tingkat yang bertukar rata di ibu negara, Port Vila, tempat berpuluh-puluh penyelamat bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa.
“Kami mengeluarkan tiga orang yang terperangkap. Malangnya, seorang daripada mereka meninggal dunia,” katanya.
Kira-kira 80 orang termasuk polis, anggota perubatan, penyelamat terlatih dan sukarelawan menggunakan jengkaut, tukul besi, pengisar dan gergaji konkrit untuk menyelamatkan mangsa.
Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud melanda pulau utama Vanuatu pada pukul 12.47 tengah hari (waktu tempatan) semalam.
Ia meratakan bangunan besar, menyebabkan dinding retak dan tingkap pecah, serta mencetuskan tanah runtuh di negara kepulauan dengan 320,000 penduduk itu, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik.
Mangsa yang maut termasuk empat di hospital Port Vila, enam dalam kejadian tanah runtuh dan empat di kedai yang runtuh, demikian menurut kemas kini oleh Pejabat Pengurusan Bencana Vanuatu.
Gempa bumi itu menyebabkan kerosakan besar pada struktur di sekurang-kurangnya 10 bangunan termasuk hospital utama. Tiga jambatan dan dua talian elektrik turut terjejas, kata laporan pejabat bencana. – AFP