SEBERANG PERAI – Seorang ahli perniagaan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah lebih RM600,000 daripada ahli perniagaan lain lima tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah memutuskan demikian selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Chan Eng Leong,50.
Eng Leong ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dengan keputusan mahkamah yang akhirnya dapat membersihkan namanya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta daripada Goh Choon Kim suapan wang AS$150,000 (RM670,151 nilai kini) sebagai dorongan bagi membantu menyelesaikan siasatan ke atas lelaki itu oleh polis Bukit Aman di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Eng Leong didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Vangohh Eminent Hotel, Bukit Mertajam di sini antara 30 dan 31 Mac 2019, kira-kira pukul 5 petang.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang RM615,000 daripada Choon Kim untuk menyelesaikan kes tersebut di pejabat Global Tobacco Manufactures Sdn. Bhd. di Machang Bubok, Bukit Mertajam pada 1 April 2019 kira-kira pukul 5 petang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd Anas manakala tertuduh diwakili peguam, R.S.N Rayer. – KOSMO! ONLINE