MELAKA – Seorang pemilik sebuah syarikat direman enam hari bermula hari ini selepas disyaki terlibat dalam sindiket menjual gelaran Datuk Seri daripada sebuah negeri, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 23 Disember itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek wanita berusia 46 tahun berkenaan.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, suspek ditahan pukul 4.45 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, wanita itu disiasat berhubung permintaan dan penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri yang dilakukan secara sindiket.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009
Semalam, Kosmo! melaporkan, seorang pengurus syarikat direman tiga hari sehingga 19 Disember selepas disyaki terlibat dalam kes sama. – KOSMO! ONLINE