PUTRAJAYA – Tiada siapa dapat membayangkan kesedihan dialami enam beradik apabila bapa mereka disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 semalam, manakala ibu mereka kini dirawat Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan yang sama.
Lebih menyedihkan, lima daripada enam beradik itu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps, Serdang, Selangor bagi menjalani rawatan selepas disahkan positif Covid-19.
Manakala, seorang lagi ahli keluarga mereka kini menjalani kuarantin kendiri di rumah mereka di Kajang, Selangor.
Nor Kamilatul Alifah Mohamad Kamil, 26, yang juga anak sulung berkata, dia mendapat berita pemergian bapanya, Mohamad Kamil Ghazali, 51, kira-kira pukul 11.15 malam semalam.
Dia yang dihubungi Kosmo! menerusi aplikasi sosial WhatsApp berkata, bapanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh sejak 1 Januari lalu sebelum diberikan bantuan pernafasan sehari kemudian.
“Kami tak sangka arwah akan pergi selamanya kerana sebelum ke hospital dia baik-baik sahaja.
“Sedih kerana tidak dapat mengurus dan memberi penghormatan terakhir kepada ayah, namun ada hikmahnya supaya kami tidak meratapi pemergiannya,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Nor Kamilatul berkata, ibunya kini berada dalam keadaan stabil.
Menurutnya, dia dan empat adik-beradiknya dibawa ke PKRC Maeps sejak Rabu lalu bagi menjalani rawatan.
“Dua adik lelaki ditempatkan di wad kuarantin lelaki, manakala saya bersama dua lagi adik perempuan berusia 15 dan 19 tahun ditempatkan di wad wanita.
Sebelum ini, seorang pengguna TikTok, Fakhrul Aiman yang juga pesakit Covid-19 di PKRC Maeps berkongsi video memaparkan adik bongsunya, Mohamad Nor Atho’ullah dibantu pesakit lain mengutip derma kilat dalam kalangan penghuni di pusat itu.
Rakaman video itu tular di media sosial sejak semalam dan rata-rata netizen melahirkan rasa simpati terhadap nasib menimpa kanak-kanak berkenaan.
Difahamkan juga, satu majlis bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan dalam kalangan penghuni di pusat kuarantin itu malam tadi untuk dihadiahkan kepada arwah ayahnya. -K! ONLINE