fbpx

Individu 50 tahun ke atas catat kerugian tertinggi ‘online scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli.

KUALA LUMPUR – Golongan berusia 50 tahun ke atas mencatatkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian meskipun bilangan mangsa adalah lebih rendah berbanding yang lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 59,974 individu menjadi mangsa penipuan online pada tahun 2022 dan 2023.

Daripada jumlah itu, seramai 11,157 mangsa atau 18.6 peratus merupakan individu berusia 50 tahun dan ke atas.

“Walaupun jumlah mangsa dalam kumpulan ini lebih kecil, kerugian yang dialami amat membimbangkan. Dalam tempoh dua tahun tersebut, jumlah kerugian mencecah RM2.07 bilion.

“Daripada jumlah itu, kerugian melibatkan mangsa berusia 50 tahun ke atas adalah RM909.5 juta atau 44 peratus daripada keseluruhan kerugian,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, semalam.

Menurut Ramli, peratusan kerugian melibatkan golongan itu terus meningkat pada tahun ini setakat 15 Disember lalu dengan kerugian RM782.8 juta iaitu 54 peratus daripada jumlah keseluruhan RM1.45 bilion.

Kata beliau, dapatan yang diperoleh pihaknya membuktikan golongan berusia menjadi sasaran ‘berkualiti’ sindiket penipuan.

“Oleh itu, mereka diingatkan supaya lebih berwaspada dengan taktik licik penipuan dalam talian yang semakin canggih.

“Masyarakat disarankan agar berkongsi maklumat mengenai jenayah penipuan dalam talian dengan keluarga, rakan dan jiran supaya kesedaran dapat ditingkatkan dan lebih ramai dapat dilindungi,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli mendedahkan sebanyak 6,909 kes penipuan e-dagang membabitkan kerugian RM62.2 juta sejak Januari sehingga 15 Disember lalu.

Penipuan melalui iklan di Facebook merekodkan jumlah tertinggi iaitu 3,457 kes, diikuti WhatsApp (1,168 kes), TikTok (800 kes), dan Telegram (771 kes).

“Musim perayaan dan cuti sekolah yang bakal tiba akan menyaksikan peningkatan aktiviti pembelian dalam talian.

“Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan memastikan transaksi dilakukan melalui platform yang sah dan dipercayai,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI