RANTAU PANJANG – Tiga lelaki tempatan termasuk seorang pemandu bot tambang dicekup selepas mereka dipercayai merentas Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram Pohon Jambu, di sini semalam.
Ketiga-tiga lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4 petang selepas anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah bot dari Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, bot tersebut ditahan semasa anggota PGA menjalankan tugas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, pemandu bot itu pada awalnya cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas oleh anggota bertugas.
“Siasatan awal mendapati, pemandu bot tersebut membawa dua orang penumpang lelaki dan mereka dipercayai masuk ke Malaysia melalui laluan yang tidak sah.
“Pemeriksaan ke atas kesemua suspek tidak menjumpai barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, ketiga-tiga lelaki itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 jika sabit kesalahan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand termasuk seorang wanita dan kanak-kanak dicekup selepas mereka merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram Abe Yie di sini pada 6 Disember lalu.
Keempat-empat individu itu ditahan kira-kira pukul 9.45 malam semasa Batalion 9 PGA dibantu pasukan unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman menjalankan pemantauan dron di kawasan tersebut.
Terdahulu, polis melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember.
Penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini. – KOSMO! ONLINE