LANGKAH perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia pada kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok tersekat di suku akhir selepas tewas 17-21, 15-21 kepada pemain Taiwan, Chou Tien Chen semalam.
Pada aksi suku akhir itu, Zii Jia yang merupakan pemain No. 10 dunia gagal menyekat kemaraan Tien Chen selepas pilihan kedua kejohanan itu menampilkan corak permainan lebih tangkas.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan akur dengan kekalahan tersebut selain mengakui Tien Chen menampilkan lebih banyak variasi dalam permainannya.
“Kita harus akui dan terima kekalahan ini dengan hati terbuka. Saya percaya Tien Chen menampilkan aksi lebih baik selain mengambil kesempatan atas pergerakan bulu tangkis yang perlahan.
“Selain itu, dia (Tien Chen) seolah-olah tidak takut dengan serangan-serangan yang dilakukan Zii Jia sehingga mampu mengawal permainan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hendrawan juga tidak menafikan Tien Chen yang juga pemain No. 2 dunia menerapkan corak permainan lebih laju terutamanya di depan jaring sehingga memerangkap Zii Jia.
“Pada pemerhatian saya, pukulan yang dilakukan Tien Chen lebih baik dan dia bermain dengan sangat pantas. Selain itu, dia turut menguasai permainan di depan jaring.
“Kita jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran dan akan perbaiki kelemahan yang ada menjelang kejohanan seterusnya yang akan berlangsung minggu depan,” ujarnya.
Selain Zii Jia, beberapa wakil negara seperti beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut tersingkir daripada kejohanan itu.