MARRAKECH – Pemain sensasi Atalanta, Ademola Lookman melakar kejutan apabila menerima Anugerah Pemain Terbaik Benua Afrika 2024 selepas tampil konsisten di peringkat kelab dan negara yang diwakilinya, Nigeria tahun ini.
Sebagai rekod, Lookman muncul wira buat Atalanta menjulang trofi Liga Europa pada tahun ini dengan meledak hatrik untuk menewaskan Bayer Leverkusen di pentas final.
Malah, bintang berusia 27 tahun itu turut membantu Nigeria mara ke peringkat akhir Piala Negara-Negara Afrika 2024 sebelum tewas kepada tuan rumah, Ivory Coast.
Lookman yang menjaringkan 17 gol dan 10 bantuan jaringan pada musim lepas di peringkat kelab turut kekal konsisten musim ini selepas meledak 11 gol dalam 19 perlawanan.
“Ini adalah anugerah yang luar biasa kerana bukan mudah untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik di benua Afrika. Saya telah mengharungi fasa karier turun dan naik kerana empat tahun lalu, saya berada dalam keadaan tertekan ekoran kegagalan demi kegagalan.
“Namun, anugerah ini menjadi bukti bahawa tiada apa yang mustahil kerana anda tidak akan selamanya dibelenggu kegagalan jika berusaha untuk mencapai impian yang sebenar,” katanya.
Lookman yang lahir England gagal mempamerkan prestasi konsisten selepas mewakili beberapa kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Everton, Leicester City dan Fulham sebelum namanya meledak selepas berhijrah ke Atalanta daripada kelab Red Bull Leipzig.
Lookman berjaya menewaskan beberapa calon dalam senarai akhir pemain terbaik kali ini seperti bintang sensasi Maghribi, Achraf Hakimi, Ronwen Williams (Afrika Selatan), Serhou Guirassy (Guinea),Simon Adingra (Ivory Coast). – AGENSI