SATU kajian daripada Karolinska Institutet di India menunjukkan bahawa pendedahan jangka panjang kepada pencemaran udara menyumbang kepada berjuta-juta kematian di negara itu.
Penyelidikan tersebut menekankan keperluan untuk peraturan kualiti udara yang lebih ketat di India.
Menurut penyelidik di Institut Perubatan Alam Sekitar di Karolinska Institutet, Petter Ljungman, pencemaran udara yang terdiri daripada zarah lebih kecil daripada 2.5 mikrometer diameter, PM2.5 boleh memasuki paru-paru dan aliran darah merupakan risiko kesihatan utama di India.
“Saya telah mengkaji hubungan antara zarah ini dan kematian dalam tempoh sepuluh tahun, dan ia berdasarkan data di 655 daerah di India antara tahun 2009 hingga 2019.
“Hasil kajian mendapati bahawa peningkatan 10 mikrogram setiap meter padu dalam kepekatan PM2.5 membawa kepada peningkatan 8.6 peratus kematian,” katanya
Tambahnya, penyelidikan juga menganalisis hubungan antara perubahan tahap pencemaran udara dan kematian.
Keputusan menunjukkan bahawa sekitar 3.8 juta kematian dalam tempoh itu boleh dikaitkan dengan tahap pencemaran udara melebihi garis panduan kualiti udara di India.
Jika dibandingkan dengan garis panduan yang lebih ketat yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu hanya 5 mikrogram setiap meter padu, angka itu meningkat kepada 16.6 juta kematian. Itu hampir 25 peratus daripada semua kematian semasa tempoh kajian.
“Kajian ini juga menekankan bahawa seluruh penduduk India tinggal di kawasan tahap PM2.5 melebihi garis panduan WHO.
“Ini bermakna hampir 1.4 bilion orang terdedah tahun demi tahun kepada pencemaran udara,” ujarnya.