fbpx

40 sindiket penipuan digempur, 426 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli berucap pada sidang akhbar di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 sindiket penipuan ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menahan 426 individu menerusi 63 serbuan di pusat-pusat panggilan di seluruh negara baru-baru ini.

Operasi khas diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu dijalankan selama 12 hari bermula 25 November lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 331 lelaki dan 95 wanita berusia 16 hingga 55 tahun.

Daripada jumlah itu, seramai 146 individu merupakan warga tempatan, manakala selebihnya warga asing.

Warga asing yang ditahan adalah 21 warga Thailand, China (224), Indonesia (18) Nigeria (5), Pakistan (3) Zimbabwe dan Ukraine masing-masing dua orang, manakala Kenya, Tajikistan, Taiwan, Guinea dan Syria seorang.

“Kesemua suspek terlibat dalam 40 kumpulan sindiket yang menjalankan pelbagai kegiatan penipuan antaranya 12 sindiket judi dalam talian.

“Turut tumpas sembilan sindiket pelaburan tidak wujud dan tipu pelaburan kerja, sindiket e-dagang (5), love scam (3), penipuan derma dan promosi video lucah masing-masing satu,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini..

Siasatan mendapati sindiket tersebut bukan sahaja menyasarkan mangsa di Malaysia, malah seluruh dunia.

Mereka yang ditahan mempunyai peranan berbeza seperti pengurus, penyelia, pegawai khidmat pelanggan, pegawai kewangan, pegawai pengiklanan dan pengaturcara komputer.

“Selain tangkapan, kita merampas sebanyak 1,240 telefon bimbit, 187 set komputer, 302 komputer riba, 44 modem, 41 router, 52 monitor, 41 kad bank, 21 kad akses dan 185 keping kad sim.

“Turut dirampas dua utas gelang tangan, enam buah kenderaan dan wang berjumlah RM79,451. Selain itu, sembilan cop rasmi, dua sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan beberapa barangan lain turut disita.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.48 juta,” katanya.

Ramli turut mendedahkan sebanyak 35 premis kediaman seperti rumah teres, kondominium dan apartmen digunakan sebagai markas operasi pusat panggilan sindiket tersebut.

Justeru, beliau memberi amaran keras kepada pemilik premis agar menyemak latar belakang penyewa dan aktiviti yang dijalankan di kediaman masing-masing.

Tegas beliau, tindakan membiarkan aktiviti jenayah beroperasi di premis kepunyaaan sendiri boleh dianggap bersekongkol dan pihak polis tidak menolak kemungkinan membawa pemilik ke muka pengadilan.

“Setakat ini seramai 261 individu sudah dituduh di mahkamah, manakala bakinya sedang disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1)(C) dan 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI