LONDON – Sepasang suami isteri di Britain berdepan kesukaran untuk mendaftarkan nama anak lelaki mereka sebagai Lucifer (Iblis).
Dan, 37, dan Mandy Sheldon, 32, pergi ke pejabat pendaftaran tempatan di Chesterfield, England, minggu lalu untuk menamakan anak lelaki mereka yang berumur empat bulan tetapi menerima bantahan petugas di sana.
“Kami benar-benar teruja untuk pergi dan mendaftarkan nama bayi kami tetapi wanita tersebut (petugas) memandang kami dengan penuh meluat,” kata Dan kepada akhbar The Sun seperti yang dilaporkan laman berita NZherald.
“Dia memberitahu kami bahawa anak kami tidak akan mendapat pekerjaan dan tiada guru mahu mendidiknya.
“Saya cuba menjelaskan bahawa kami bukan orang yang berpegang teguh pada agama lagipun, Lucifer dalam bahasa Greek bermakna ‘pembawa cahaya’ tetapi dia enggan menerima penjelasan kami.
“Malah, petugas itu memberitahu kami adalah bertentangan dengan undang-undang untuk menamakan anak sedemikian di New Zealand,” tambahnya.
Kedua-duanya terkejut dengan kelakuan petugas tersebut. Mereka kemudian diminta beredar sementara petugas sama membuat semakan sama ada dia dibenarkan mendaftarkan namasyaitan tersebut.
“Wanita tersebut akhirnya mendaftarkan nama anak kami tetapi dia amat keberatan,” ujar Dan.
“Secara jujur, kami berpendapat nama itu bagus dan unik. Kami tidak menyangka akan berdepan kesukaran untuk mendaftarkannya,” tambah bapa bayi tersebut.
Menurut akhbar The Sun, enam pasangan ibu bapa di New Zealand pernah meminta untuk menamakan bayi mereka Lucifer dari tahun 2001 hingga 2013 tetapi semua permintaan tersebut ditolak.
Sementara itu, di Amerika Syarikat seramai 26 bayi baru lahir dinamakan Lucifer pada tahun 2018. – AGENSI