KUALA LUMPUR – Jatuh dari pentas semasa melakukan persembahan pada Oktober lalu, penyanyi Ismail Izzani mengakui mempunyai masalah pada lutut kirinya.
Susulan itu, Ismail atau nama lengkapnya Ismail Izzani Zainal Nazeri, 23, tidak boleh melakukan gerakan tarian lebih kurang enam bulan sepanjang tempoh pemulihan.
“Ada masalah pada lutut kiri saya yang dikenali sebagai ‘meniscus tear’ tetapi belum buat pemeriksaan lanjut.
“Saya akan buat pemeriksaan selepas ini. Doktor pun nasihatkan saya tidak boleh menari untuk tempoh pemulihan kira-kira enam bulan.
“Dalam masa sama, saya kena buat beberapa senaman untuk kuatkan balik kaki,” katanya kepada Kosmo! Online.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Luar Biasa yang ditemui semasa sidang media The Impiano Experience 2.0 Ismail Izzani di Aquaria KLCC memutuskan untuk bertemu pakar selepas merasakan sakit berpanjangan.
“Masa kejadian saya ingat tidak serius tetapi selepas tiga minggu, kaki saya masih sakit.
“Otot pada kaki kiri saya pula lebih kecil berbanding kaki kanan. Itu yang buat saya risau sebab kaki nak pakai lama.
“Saya pula banyak bergerak. Jadi, saya memang akan buat pemeriksaan pada masa akan datang,” ujarnya.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan Ismail terjatuh dari pentas semasa mengadakan persembahan pembukaan untuk konsert Rema Live In KL. – KOSMO! ONLINE