PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 bakal membawa lebih banyak kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat negeri itu.
Presiden UMNO itu turut mendoakan agar Tun Musa sentiasa diberikan petunjuk, hidayah serta kekuatan dalam menjalankan amanah yang bakal dilaksanakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berusia 73 tahun itu bermula 1 Januari nanti
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
“Semoga pelantikan ini membawa lebih banyak kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat negeri Sabah, dan melimpah ruah ke seluruh negara jua.
“Saya mendoakan agar Tun sentiasa diberikan petunjuk, hidayah serta kekuatan dalam menjalankan amanah yang diberikan dengan cemerlang.
“Selamat maju jaya dalam menerajui kepimpinan negeri Sabah dan semoga Allah SWT sentiasa merahmati perjalanan Tun hendaknya. Insya-Allah,” tulis Ahmad Zahid di media sosialnya hari ini.
Terdahulu, istiadat penyerahan Surat Cara Pelantikan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini. – KOSMO! ONLINE.