LUMUT – Empat nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak ditahan di kedudukan 12.9 kilometer (km) barat daya Sungai Tiang di sini sekitar pukul 12.20 tengah hari kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mereka yang ditahan bersama sebuah vesel nelayan tempatan kelas C didapati mengendalikan bot secara tidak sah.
“Vesel terbabit dikesan ketika sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan operasi bot ronda yang sedang melakukan rondaan di lokasi terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan bersama empat orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 22 hingga 45 tahun,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati, vesel terbabit disyaki melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan selain kru disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri meragukan.
Mohamad Shukri berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan kurang dari 27.7km dari daratan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE