PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan negeri-negeri yang dijangka terjejas termasuk Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Di Perak, kawasan yang terlibat ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim. Manakala di Pahang, cuaca buruk ini dijangka melanda Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera,” katanya.
Tambahnya, Selangor turut dijangka terkesan dengan ribut petir dan hujan lebat di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
“Di Negeri Sembilan, kawasan Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin dijangka menerima kesan cuaca buruk ini, manakala di Johor, ia melibatkan kawasan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” ujarnya.
Sementara itu, di Sarawak, kawasan terjejas termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) serta Limbang.
“Di Sabah, kawasan Pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Beaufort dan Keningau serta Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dijangka mengalami cuaca sama,” jelas kenyataan itu lagi.
Penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan untuk berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan harta benda berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ini. – KOSMO! ONLINE