PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan lonjakan trafik sebanyak 14 peratus bersempena cuti perayaan Krismas dan hujung tahun bermula Jumaat ini sehingga 2 Januari tahun hadapan.
Plus menerusi kenyataan berkata, ia mencecah 2.12 juta kenderaan sehari berbanding 1.85 juta pada hari-hari biasa.
Susulan itu, Plus menyarankan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan jadual perjalanan secara digital menerusi MyPLUS-TTA sepanjang tempoh berkenaan.
“Jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di dalam Aplikasi Plus ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang ramai merancang perjalanan.
“Pada masa sama, ia juga bertujuan untuk mengelakkan kenderaan terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak dan kemungkinan terperangkap di dalam kesesakan,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi Plus, Pembantu Maya Putri, aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian PlusLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
“Kami juga menasihatkan supaya menggunakan aplikasi Plus, aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang dan mendapatkan status trafik semasa pada musim perayaan ini,” tambah kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE