PETALING JAYA – Bersyukur menjadi tetamu Allah, pelakon Lana Nodin mengakui berbangga terhadap kesungguhan suaminya, Mohd Daud Mckenzie menyempurnakan ibadah umrah.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin, 44, pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci Mekah bersama anak-anak mereka turut menambahkan rasa hormat terhadap teman hidupnya itu.
“Alhamdulillah, saya bangga sebagai isteri, ibu dan anak untuk suami, permata hati serta orang tua saya kerana dapat menyempurnakan umrah pertama kami sekeluarga.
“Terima kasih Allah kerana melancarkan ibadah serta barakah, menjemput kami datang dan memakbulkan doa saya.
“Terutama buat suami saya, sebagai isteri saya sangat berbangga dengan awak. Tiada perkataan dapat menggambarkan rasa gembira, sayang dan bangga saya terhadap awak,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam video dikongsikan, Lana kelihatan menangis sehingga bercucuran air mata ketika tawaf sambil memegang tangan dua anaknya.
Menerusi paparan sama, turut dikongsikan adalah semasa Daud mengandar anak lelaki mereka.
Pelakon yang sinonim dengan imej seksi sejak 2005 itu juga tidak lupa menzahirkan kesyukuran atas hidayah dikurniakan Allah kepadanya.
Menerusi ruangan komen rata-rata memberikan pujian dengan menyifatkan Lana mampu mendidik suaminya juga mualaf ke arah kehidupan mengikut jalan Allah.
“Dalam ramai artis yang berkahwin dengan mualaf, Lana bagus sebab dapat didik suami dan anak-anak. Alhamdulillah,” kata netizen.
“Indahnya hidayah Allah. Selalu akan rasa syahdu lihat mualaf bersungguh-sungguh beribadah,” tulis peminatnya.
Sebelum ini Lana mengakui sepanjang 10 tahun memeluk Islam Daud banyak bertanya dan belajar agama sehingga boleh mengajar anak mereka khususnya bersolat.
Perkahwinannya dengan pemain bola tampar asal Amerika Syarikat pada 15 Mei 2015 dikurniakan Gia Quinn Mckienzie, 8, dan William Daud Mckienzie, 5. – KOSMO! ONLINE