KEMAMAN – Hajat seorang ahli perniagaan untuk meraih keuntungan berganda tidak kesampaian, tetapi sebaliknya kerugian RM704,000 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 73 tahun itu tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada pukul 3 petang kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki warga emas tersebut terpengaruh untuk menyertai tawaran skim pelaburan saham yang diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia membuat pelaburan keseluruhan berjumlah RM704,000 bagi menyertai skim pelaburan tidak wujud berkenaan.
“Pelaburan itu dilalukan menerusi 10 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza antara 4 November hingga 4 Disember lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Muhamad berkata, mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila tidak menerima sebarang pulangan dijanjikan.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE